Amalan yang paling disukai Allah

Dari Raja’, beliau berkata: “Pernah pada suatu hari ketika saya berada di samping Sulaiman bin Abdul Malik, tiba-tiba datang seorang lelaki tampan. Lelaki itu memberi salam kemudian kami jawab. Kemudian dia berkata: “Wahai Raja’, sesungguhnya telah diuji keimananmu ketika engkau dekat dengan lelaki ini (Raja Sulaiman). Kalau engkau dekat dengan dia, maka engkau akan celaka. Wahai Raja’, engkau mesti sentiasa berbuat baik dan menolong orang-orang lemah. Ketahuilah wahai Raja’, sesiapa yang mempunyai kedudukan di kerajaan sultan, lalu dia mengangkat hajat orang-orang lemah yang mereka tidak sanggup menyampaikannya, maka orang yang mengangkat atau menyampaikan itu akan menjumpai Allah pada hari kiamat dalam keadaan kedua tumitnya tetap ketika berhisab. Ketahuilah wahai Raja’ bahawa sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya sesama muslim maka Allah akan menunaikan hajatnya. Dan ketahuilah wahai Raja’ bahawa amalan yang paling disukai Allah ialah amalan menyenangkan hati orang mukmin.”

Setelah memberikan pengajaran yang bernas itu, tiba-tiba lelaki itu sudah menghilang. Ramai yang berpendapat bahawa yang datang memberikan pengajaran itu ialah Nabi Khidir.

Mas’ab bin Thabit bin Abdullah bin Zubair adalah seorang yang rajin beribadat. Dia selalu berpuasa dan mengerjakan solat tidak kurang dari seribu rakaat sehari semalam. Dia ada berkata: “Pernah ketika aku berada di dalam masjid sedangkan orang semuanya sudah pulang, ke rumah masing-masing, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak saya kenal. Lelaki itu menyandarkan badannya ke dinding masjid sambil berkata: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu bahawa aku berpuasa sejak kelmarin. Sampai sekarang pun aku masih berpuasa. Aku tidak mendapatkan makanan dan minuman dan aku menginginkan al-Tharid (nama makanan). Berikanlah kepadaku ya Allah makanan dari sisi Engkau.”

“Tiba-tiba saya melihat seorang pelayan datang membawa hidangan. Pelayan itu nampaknya tidak seperti orang biasa. Orangnya tampan, bersih dan pakaiannya kemas. Dia berjalan ke arah lelaki yang berdoa tadi sambil meletakkan hidangan itu di hadapannya. Lelaki itu pun membetulkan duduknya menghadap hidangan itu. Sebelum mencicipi makanan itu dia memandang saya dan mengajak saya supaya ikut makan bersamanya. Hatiku berkata: “Syukur dia mengajak saya makan bersama.” Ketika itu saya yakin makanan itu didatangkan dari syurga sehingga saya pun ingin betul mencuba. Baru sedikit saya cuba tahulah saya bahawa makanan itu bukan makanan yang biasa di dunia ini.

Sebenarnya saya merasa segan dan malu kepada orang yang tidak saya kenal itu. Belum lagi kenyang rasa perutku saya sudah mengucapkan terima kasih dan pergi ke tempatku semula tadi. Tetapi saya masih terus memperhatikan lelaki itu. Setelah dia selesai makan, datang lagi pelayan tadi mengambil hidangan itu. Dia pergi lagi ke arah tempat datang tadi. Lelaki yang baru selesai makan itu pun sudah berdiri dan nampak pergi. Aku kejar dia kerana ingin tahu siapa dia sebenarnya. Tetapi malangnya dia tiba-tiba saja menghilang dan saya tidak tahu ke mana perginya. Besar kemungkinan lelaki itu adalah Nabi Khidir.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Ibrahim bin Abdullah bin Al-Mughirah, dari Abdullah, berkata: “Telah bercerita kepadaku ayahku bahawa pengurus sebuah masjid berkata kepada Walid bin Abdul Malik: “Sesungguhnya Nabi Khidir sembahyang setiap malam di masjid.”

Dari Daud bin Yahya, katanya bercerita seorang lelaki yang selalu berada di Baitul Maqdis: “Pada waktu saya berjalan di salah satu lembah di Jordan, saya melihat di lembah bukit itu ada orang yang sedang mengerjakan solat. Saya lihat di atasnya ada awan yang melindunginya daripada panas matahari. Menurut tekaanku lelaki itu adalah Nabi Ilyas. Saya dekati dia kemudian kuucapkan salam kepadanya. Dia berpaling kepadaku sambil menjawab salamku. Aku tanya: “Siapa anda sebenarnya wahai orang yang dirahmati Allah?” Dia diam sahaja dan tidak menjawab soalanku. Kutanya lagi seperti soalan pertama kemudian dia menjawab: “Aku adalah Ilyas An-Nabi.”

Tiba-tiba sahaja merinding bulu romaku. Aku gementar, dan yang paling kutakutkan dia menghilang sebelum saya sempat menanyakan itu dan ini. Aku berkata kepadanya: “Tolong doakan supaya Allah menghilangkan penyakitku ini." Dia pun berdoa. Tiba-tiba penyakitku terasa sudah sembuh.

Aku tanya lagi: “Kepada siapa tuan diutus?” Beliau menjawab: “Aku diutus kepada penduduk Baklabakka.” Kutanya lagi: “Apakah sekarang ini tuan masih ada menerima wahyu?” Beliau menjawab: “Bukankah sudah diutus Muhammad sebagai nabi penutup? Aku tidak ada menerima wahyu lagi.”

Katanya lagi: “Kalau begitu berapa lagi nabi yang masih hidup sekarang ini?” Beliau menjawab: “Sekarang ada empat orang lagi nabi yang masih hidup, iaitu saya sendiri (Ilyas), Khidir di bumi (darat), dan Nabi Idris bersama nabi Isa di langit.”

Kutanya lagi: “Apakah tuan pernah berjumpa dengan Nabi Khidir?” Beliau menjawab” “Ya, setiap tahun kami berjumpa di padang Arafah, yakni pada musim haji.”

Kutanya: “Apa yang kamu lakukan jika berjumpa di sana?” Beliau menjawab: “Aku ambil rambutnya kemudian dia pun mengambil (mencukur rambutku).”

Kutanya lagi: “Berapa orang lagi Al-Abdal (Wali Allah yang lain)?” Beliau menjawab: “Ada 60 orang lelaki. 50 orang berada di kawasan Mesir sampai pantai Furat, 2 orang di Masisah, 1 orang di Antokiah dan 7 orang di pelbagai penjuru dunia. Merekalah yang mengatur hujan dan mereka yang menolong untuk mengalahkan musuh Allah, bahkan di tangan mereka berdirinya dunia ini, dia matikan mereka semua supaya dunia ini pun hancur.” Ini menurut satu pendapat sangat tidak sahih.

Comments

Popular posts from this blog

PUCUNG: (Cuplikan Serat Wedhatama)

Sayyid As Syaikh ‘Abdul Khaliq al-Ghujdawani

Doa Faraj Nabi Khidir AS